Wednesday, 13 July 2016

Apakah skim-skim latihan yang terdapat di PSMB?


.

Majikan adalah digalakkan untuk menggunakan bayaran levi mereka melalui skim-skim latihan seperti berikut: -

Skim SBL (Skim Bantuan Latihan)

Skim ini merupakan skim bantuan utama PSMB. Majikan perlu mengemukakan permohonan sebelum latihan bermula. Majikan dibenarkan untuk mengenal pasti keperluan latihan mereka sendiri dan melaksanakan program latihan untuk melatih semula dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pekerja sejajar dengan keperluan operasi dan perniagaan syarikat. Di bawah skim ini, majikan dibenarkan menjalankan latihan sama ada di tempat kerja atau di luar tempat kerja atau kombinasi kedua-duanya sekali. Majikan juga boleh melaksanakan latihan dengan menggunakan pengajar dalaman, luaran atau luar negeri. Pengajar atau Penyedia Latihan dikehendaki untuk mendaftar di bawah Kategori C sebelum mereka dibenarkan untuk menjalankan latihan di bawah Skim SBL, berkuatkuasa 1 Januari 2011 di bawah skim ini.

Skim SBL-KHAS

Skim SBL-Khas ini dilaksanakan bagi membantu para majikan yang menghadapi masalah pengaliran wang tunai untuk terus mempergiatkan aktiviti-aktiviti latihan semula dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka dengan menggunakan baki levi yang sedia ada. Di bawah skim ini, majikan tidak perlu membayar yuran latihan kepada penyedia latihan terlebih dahulu. PSMB akan mendebitkan levi daripada akaun majikan untuk membayar yuran latihan kepada penyedia latihan dengan kebenaran yang telah diberikan oleh majikan berkenaan. Program latihan yang layak ditawarkan di bawah skim ini ialah Latihan dalaman dan luaran yang dijalankan oleh penyedia latihan yang berdaftar dengan PSMB. Permohonan geran latihan dari majikan bagi program yang tidak berdaftar dengan PSMB atau diadakan oleh penyedia latihan yang tidak berdaftar dengan PSMB akan ditolak.

Skim PROLUS (Program Latihan Yang Diluluskan)

Skim ini mensyaratkan penyedia-penyedia latihan berdaftar dengan PSMB. Setelah berdaftar, mereka bolehlah mengemukakan program-program latihan yang relevan kepada keperluan latihan majikan untuk dipertimbangkan bagi pemberian taraf Latihan Yang Diluluskan (PROLUS). Majikan-majikan bolehlah memilih mana-mana program latihan yang bertaraf PROLUS, menghantar pekerja-pekerja mereka menjalani latihan tanpa memperolehi kelulusan Urusetia PSMB terlebih dahulu dan membuat tuntutan setelah program latihan tamat, bergantung kepada terma dan syarat PSMB. Di antara program latihan/kursus yang boleh ditawarkan ialah Kemahiran pengurusan/Pentadbiran, Teknikal/Pertukangan, Komputer dan Kemahiran produktiviti.

Skim PERLA (Perjanjian Latihan Dengan Penyedia Latihan).

Skim ini pada dasarnya merupakan suatu Perjanjian Latihan dengan penyedia latihan yang terpilih dan berdaftar dengan PSMB. Tujuan skim ini ialah untuk meringankan beban kewangan majikan, khususnya majikan-majikan kecil. Di bawah skim ini, majikan menghantar pekerja-pekerja mereka untuk latihan semula/peningkatan kemahiran dengan penyedia-penyedia latihan ini tanpa perlu membayar sepenuhnya jumlah yuran yang dikenakan. Sebagai contoh, jika yuran yang dikenakan untuk sesuatu program sebanyak RM1,000.00 dan kadar bantuan kewangan di bawah KWPSM ialah lapan puluh lima peratus (85%), majikan hanya perlu membayar RM150.00 sewaktu pendaftaran. Bakinya sebanyak RM850.00 akan dituntut oleh penyedia latihan berkenaan daripada PSMB. Bagi kadar bantuan kewangan seratus peratus (100%), majikan tidak perlu mengemukakan apa-apa bayaran. Dengan tiada atau bayaran pendahuluan yang kecil ini, PSMB berharap lebih banyak pekerja akan dihantar untuk latihan semula dan peningkatan kemahiran.

Skim PLT (Pelan Latihan Tahunan)

Skim PLT bertujuan untuk menggalakkan majikan-majikan menyediakan Pelan Latihan Tahunan. Di bawah skim ini, majikan adalah digalakkan untuk membuat analisis keperluan latihan secara sistematik bagi memastikan latihan yang dijalankan benar-benar memenuhi keperluan syarikat dan selaras dengan tahap teknologi yang digunakan serta pelan perniagaan mereka. Pelan latihan tersebut hendaklah meliputi sekurang-kurangnya 10% daripada 15% jumlah pekerja bawahan di syarikat tersebut, mempunya kelayakan SPM dan ke bawah. Bagi majikan yang tidak mempunyai kepakaran menjalankan analisis keperluan latihan, bantuan dari PSMB boleh diperolehi melalui: -

Skim Juruplan (Skim Khidmat Juruperunding Bagi Pelan Latihan Tahunan).
Majikan boleh berhubung dengan Urusetia PSMB untuk mendapat khidmat juruperunding yang berdaftar dengannya. Kos juruperunding yang akan terlibat perlu mendapat kelulusan PSMB terlebih dahulu dan bantuan kewangan adalah pada kadar 80 peratus. Faedah ini hanya boleh dinikmati sekali sahaja kerana majikan berkenaan telah memperolehi kemahiran untuk menjalankan Analisis Keperluan Latihan untuk tahun-tahun akan datang.

Skim Pembelian Peralatan Bantuan Latihan Dan Penyediaan Kemudahan Bilik Latihan

Skim ini melayakkan majikan memperolehi bantuan kewangan pada kadar seratus peratus (100%) bagi Pembelian Peralatan Bantuan Latihan dan Penyediaan Kemudahan Bilik Latihan tetapi tertakluk kepada maksimum 20% daripada jumlah bayaran levi yang dibayar dalam tahun sebelumnya. Di bawah skim ini, majikan perlu mendapatkan kelulusan awal dari PSMB. Skim ini bertujuan menggalakkan majikan menjalankan latihan dalaman serta meningkatkan budaya latihan di kalangan mereka.

Peralatan-peralatan latihan yang diluluskan di bawah skim ini adalah seperti berikut: -

Set Televisyen;
Pemain Video Kaset (VCR)
Pemain Video Cakera Padat (VCD Player) atau Pemain Video Cakera Padat Digital (DVD Player);
Overhead Projector;
LCD, Multimedia dan Direct Projector;
Layar dan Papan Putih;
Pita Latihan dan Video;
Video latihan 'compact disc';
Kerusi dan Meja untuk Bilik Latihan sahaja; dan
Flip Chart Stand; and
Peralatan Mannequin (program latihan pertolongan cemas dan cpr)
Bagi penyediaan bilik-bilik latihan, kelulusan yang diberi adalah tidak termasuk pembinaan bangunan, pusat latihan, atau apa-apa bayaran sewa beli bilik latihan.

Mengikut Pekeliling Bil. 3/2009, pembelian komputer bimbit atau "notebook" telah diluluskan sebagai item yang dibenarkan di bawah Skim Pembelian Peralatan Dan Penyediaan Kemudahan Bilik Latihan dengan syarat-syarat seperti di bawah:

Majikan perlu mempunyai bilik latihan dan tenaga penagar dalaman sepenuh masa atau pegawai latihan;
Komputer bimbit atau "notebook" mestilah digunakan oleh pengajar dalaman atau pegawai latihan;
Majikan perlu mempunyai kemudahan LCD projector di premis majikan;
Komputer bimbit tersebut tidak dibenarkan untuk dipinjam kepada pegawai yang tidak berkenaan atau bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan latihan;
Komputer bimbit yang tidak digunakan mestilah disimpan di dalam bilik latihan atau di Bahagian Sumber Manusia. Ia hanya dibenarkan dibawa keluar daripada premis majikan dengan syarat terdapat aktiviti berkaitan latihan yang dijalankan oleh majikan;
Pembelian komputer bimbit hanya dibenarkan sekali bagi setiap dua tahun; dan
Majikan yang kehilangan komputer bimbit yang dibeli melalui skim ini tidak layak memohon semula bagi tujuan penggantian.
Latihan Berasaskan Komputer

Majikan yang hendak membeli atau membangunkan perisian CBT termasuklah CD-ROM untuk tujuan latihan semula dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka layak untuk mendapatkan bantuan kewangan. Pembelian perisian komputer tidak memerlukan kelulusan dari PSMB. Walau bagaimanapun, kelulusan awal adalah diperlukan sekiranya majikan melantik juruperunding untuk membangunkan perisian latihan yang spesifik. Kadar bantuan kewangan adalah mengikut bidang-bidang kemahiran.

Skim Teknologi Maklumat dan Latihan Berbantu Komputer (Pembelian komputer peribadi)

Dalam usaha menggalakkan latihan Teknologi Maklumat oleh majikan, bantuan kewangan akan diberikan kepada pihak syarikat untuk mengadakan kemudahan latihan berkomputer memandangkan majikan menghadapi masalah untuk membenarkan pekerja mereka menghadiri latihan yang diadakan di luar premis majikan. Di bawah skim ini, pihak syarikat diberi kemudahan untuk membeli beberapa unit komputer peribadi. Majikan layak untuk menerima bantuan kewangan sehingga jumlah maksimum sebanyak RM25,000.00 sekali dalam masa tiga (3) tahun.

Majikan dikehendaki mendapatkan kelulusan awal sebelum membuat pembelian. Pembelian komputer tersebut adalah hanya untuk kegunaan latihan sahaja dan tidak boleh digunakan untuk pentadbiran pejabat. Pembelian komputer peribadi yang mempunyai perkakasan multimedia seperti "CD ROM Drive", "Speakers" dan "Sound Card". Komputer jenis Notebook dan Laptop tidak layak mendapat bantuan kewangan di bawah skim ini.

Skim Perantisan

Skim ini bertujuan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih bagi industri yang ditentukan oleh PSMB bersama dengan majikan. Perantis dipilih daripada pelajar lepasan PMR /SPM. Pekerja majikan yang tidak mempunyai latihan secara formal juga boleh ditaja oleh majikan tetapi dengan nisbah 1:1. Latihan perantisan ialah kombinasi latihan teori di tempat penyedia latihan yang memberi penekanan latihan praktikal dan latihan di tempat kerja yang berstruktur di premis majikan penaja. Kurikulum latihan dibangunkan berasaskan modul.

Selepas tamatnya latihan bagi setiap modul di institut latihan (bagi tempoh 3 bulan), perantis akan menjalani latihan di tempat kerja di premis majikan (3 bulan) untuk memperkukuhkan lagi apa yang telah dipelajari. Tempoh keseluruhan latihan ialah di antara 6 bulan hingga 18 bulan, bergantung kepada jenis skim perantisan dan keperluan majikan.

Yuran pengajian dibayar sepenuhnya oleh PSMB. Majikan penaja akan membayar elaun bulanan (RM300-RM500) dan perlindungan insuran. Mereka layak menuntut bantuan kewangan pada kadar 100 peratus bagi kos yang dibenarkan iaitu elaun bulanan perantis, insuran dan bahan guna habis, jika ada. Selepas tamat latihan, perantis akan ditauliahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2. Perantis yang mengikuti modul latihan sepenuhnya akan dianugerahkan Sijil Perantisan oleh PSMB dan MLVK.

Skim Latihan Bersama (SLB)

Skim ini melibatkan beberapa majikan, terutamanya PKS yang bersama-sama mengambil atau melantik Penyedia Latihan bagi menjalankan program / kursus kepada pekerja mereka. Salah seorang daripada majikan yang terlibat akan berperanan sebagai 'pengendali' dalam menentukan program yang perlu, mendapatkan penyedia latihan yang sesuai, menetapkan tempat di mana program akan dijalankan dan menentukan kos yang dikongsi berdasarkan bilangan pelatih. Majikan yang bertindak sebagai 'pengendali' berkelayakan membuat tuntutan bagi kos yang dibenarkan dan yang ditanggung olehnya pada kadar 100%, manakala majikan-majikan lain pula, kadar tuntutan adalah mengikut kadar bantuan kewangan yang berkuatkuasa sekarang.
.